|
Program ini bukan
sahaja sebuah program yang julung-julung kali dilaksanakan di UPM tetapi
juga universiti di negara ini. Program ini telah mendapat sokongan padu
dari Pengurusan UPM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan telah
mendapat kerjasama penuh dari Persatuan Alumni, Persatuan Pesara (POP),
Kesatuan Staf Am (KEPERTAMA), Persatuan Pentadbir (PP) dan Persatuan
Pegawai Akademik (PPA) UPM.
PERMATA akan
mengadakan satu majlis pelancaran pada hari Sabtu 17 Ogos 2002 bertempat
di Hotel Equatorial Bandar Baru Bangi, dan ia akan dilancarkan oleh yang
Penaung Kehormat Program iaitu Yang Berhormat Datuk Sharizat Jalil
sendiri.
Tujuan program
ini adalah untuk memberi sokongan, bantuan, perhatian dan kasih sayang
kepada pelajar yang memerlukan bimbingan agar mereka dapat memberi
sepenuh tumpuan terhadap pelajaran dan seterusnya mempertingkatkan
prestasi akademik mereka.
PERMATA
mengambil inisiatif ini setelah mengenalpasti beberapa masalah yang
sering dihadapi oleh pelajar-pelajar khususnya di kalangan mereka yang
baru menjejakkan kaki ke UPM.
Program ini
adalah bersesuaian dengan matlamat penubuhan PERMATA yang ingin
menimbulkan kesedaran di kalangan ahli akan kepentingan peranan dan
tanggungjawab wanita dalam memberi sumbangan ke arah perkembangan dan
kemajuan universiti seiring dengan wawasan yang telah ditetapkan.
Program
Jalinan Kasih adalah salah satu aktiviti sosial dan kebajikan yang
diharap dapat memperlihatkan keprihatinan kaum wanita dalam membantu
meringankan masalah pelajar-pelajar yang terpilih menyertai program ini.
PERMATA amat
memahami bahawa kebanyakan pelajar sering menghadapi masalah penyesuaian
diri dengan kehidupan kampus seperti tempat kediaman, pengangkutan,
makanan, persekitaran, social. Kehidupan di kampus merupakan suatu
fenomena baru kepada kebanyakan pelajar terutama yang pertama kali hidup
berjauhan dari keluarga. Tambahan pula, sebahagian dari mereka tidak
boleh mengurus masa dengan bijak serta berasa terlalu dibebani dengan
jadual kuliah dan aktiviti kampus yang padat. Bagi mereka yang berasal
dari keluarga yang miskin atau mempunyai adik beradik yang ramai mungkin
tidak dapat menumpukan fikiran terhadap pengajian serta mengalami
tekanan hidup. Lebih merumitkan lagi apabila pelajar berkaitan gagal
berkomunikasi atau bercampur-gaul dengan teman baru di kampus yang
memberikankesan negatif. Semua ini sudah pasti akan menimbulkan kesan
sosial yang mungkin membawa kepada pembantutan prestasi akademik mereka.
Kebanyakan
pelajar tidak mempunyai keluarga terdekat untuk membantu mereka
menghadapi berbagai-bagai masalah kehidupan di kampus. Ini akan
mengakibatkan kemerosotan pencapaian akademik yang berpanjangan yang
mungkin boleh membawa kepada kegagalan mereka meneruskan pengajian.
Pihak PERMATA
yakin bahawa ramai di kalangan staf, alumni dan pesara UPM dapat
menyokong program yang murni ini. Keprihatinan warga kampus dalam
menangani masalah sosial yang dihadapi oleh generasi muda yang bergelar
pelajar UPM ini dipercayai akan menjadi model kepada komuniti di
persekitaran UPM, dalam menyahut seruan kerajaan untuk merealisasikan
konsep masyarakat penyayang.
Sambutan
positif daripada semua pihak diharap akan menggerakkan penyertaan lebih
ramai keluarga angkat untuk turut menyahut dan menjayakan program
ini.PERMATA sangat memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam
menjayakan program ini.
|